Sokongan terhadap penentangan Libya Izz_ad-Din_al-Qassam

Susulan penjajahan Itali ke atas Libya pada September 1911, al-Qassam mula mengumpul dana di Jableh untuk gerakan bersepadu Uthmaniyyah-Libya. Gabenor daerah Jableh cuba untuk menguasai kutipan dana itu namun setelah penduduk Jableh tetap memberikan sumbangan mereka kepada al-Qassam, dia cuba untuk memenjarakannya. Gabenor daerah itu mendakwa al-Qassam sedang menentang kerajaan Uthmaniyyah, namun siasatan rasmi mendapatinya tidak bersalah menyebabkan gabenor itu kemudiannya disingkirkan.

Pada Jun 1912, dalam salah satu khutbah Jumaatnya, dia menyeru sukarelawan untuk berjihad melawan penjajah Itali. al-Qassam hanya menerima sukarelawan yang telah menjalani latihan ketenteraan Uthmaniyyah dan berjaya mendaftarkan berdozen-dozen sukarelawan. Beliau menanggung ekspedisi ke Libya di samping wang sara diri kepada keluarga para sukarelawan sementara mereka berada di luar negara. Beliau ditemani antara 60 hingga 250 mujahidin setibanya di İskenderun pada akhir tahun itu. Permintaan al-Qassam untuk menggunakan pengangkutan Uthmaniyyah ditolak dan pihak berkuasa mengarahkan rombongannya pulang semula ke Jableh. Kerajaan baru Uthmaniyyah di Istanbul telah mendapat kuasa dan beralih fokus ke barisan hadapan Balkan pada bulan Oktober, meninggalkan penentangan Libya. Sebahagian dana yang dikumpul digunakan untuk mendirikan sebuah madrasah di Jableh sementara bakinya disimpan untuk masa hadapan.